Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
JPM meneruskan Tadarus di Masjid Kampung Belais
21/03/2024
tmjpm_210324.jpg 

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya hari ini meneruskan lagi Majlis Tadarus ke Masjid Kampung Belais, di sini. Majlis Tadarus berkenaan dikelolakan bersama Jabatan Tenaga dan Jabatan Kehakiman Negara dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Belais. 

Hadir mengetuai rombongan ialah, Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Sufian bin Haji Sabtu selaku Pemangku Menteri di JPM. 

Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap dan Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap JPM serta para pegawai dan kakitangan JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya. 

Majlis didahului dengan penyampaian sumbangan wakaf berupa barang keperluan masjid yang disampaikan oleh Yang Mulia Dato Seri Paduka kepada Imam Tingkat IV masjid tersebut, Awang Mohammad Safwan bin Zolkipli. 

Kemudian acara diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan Tadarus Al-Quran bermula dari Juzuk 21 yang dimulakan oleh Yang Mulia Pemangku Menteri di JPM. Majlis disudahi dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah. 

Majlis Penutup Tadarus dan Khatam Al-Quran bagi JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya akan diadakan di Masjid Ash-Shaliheen, Kompleks Bangunan JPM pada Selasa, 26 Mac ini nanti. 

Majlis-majlis keagamaan sempena bulan Ramadan merupakan antara aktiviti tahunan JPM bagi mengeratkan silaturahim antara pegawai dan kakitangan serta jemaah masjid dan penduduk kampung. 

Selain itu, ia juga adalah bagi sama-sama menghidupkan dan menyemarakkan lagi bulan Ramadan yang mulia ini, serta merebut ganjaran pahala dan keberkatan yang dijanjikan Allah Subhanahu Wata'ala.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto